Friday 15 January 2016

GMP UMUM PERHIMPUNAN BANTAHAN 26 MAC!




#BantahDLP #Keranda152

Setelah rimas, kecewa dan terkilan dengan sikap kerajaan yang tidak melayan segala usaha berbentuk rundingan bagi memansuhkan Program Dwi-Bahasa (DLP), Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) memilih jalan terakhir dengan mengadakan perhimpunan bantahan secara aman di seluruh negara pada 26 Mac ini.

Menurut GMP, perhimpunan itu bertujuan menggesa kerajaan, khususnya Kementerian Pendidikan, membatalkan DLP yang bermula semalam.

Motifnya hanyalah satu, iaitu tidak sanggup melihat kira-kira 3.5 juta pelajar tahun 1 dan 4 di sekolah kebangsaan dan pelajar tingkatan 1 di sekolah menengah terjejas dengan program tersebut, katanya.

GMP kecewa kerana segala rayuan terhadap Kementerian Pendidikan, Timbalan Perdana Menteri, Ketua Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini agar program DLP ditangguhkan menemui jalan buntu.

Pengerusinya, Prof. Emeritus Shaharir Mohamad Zain berkata, pihaknya menjangka 100,000 orang akan menyertai perhimpunan yang bakal diadakan itu.

"Lokasi belum ditentukan lagi. NGO yang ada dalam gabungan kami akan membantu kita mendekati masyarakat umum dan memberikan pencerahan lebih lanjut tentang niat murni kami menggesa pemansuhan DLP supaya mereka faham dan sokong niat murni kami.

"Sementara menunggu hari bantahan itu, kita masih menaruh harapan bahawa kerajaan akan memanggil untuk berunding dengan mengambil kira segala pandangan jitu kami mengenai masa depan dasar pendidikan negara serta kesan DLP.

"Sekiranya tidak ada sebarang reaksi positif daripada kerajaan sehingga akhir Februari ini, maka bantahan yang diumumkan itu akan diteruskan," katanya dalam sidang media khas di Bangunan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Taman Cemerlang di sini.

GMP yang dianggotai 34 pertubuhan bukan kerajaan membantah pelaksanaan DLP sejak ia program itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun lalu.

Sebagai menyokong insiatif terbaharu mereka, kata Shaharir, Majlis Perundingan Melayu sedang memperhalusi dan menyediakan memorandum mengenai DLP untuk diserahkan kepada Majlis Raja-Raja (MRR) dan Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah selain menyerahkannya kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang mengambil berat tentang dasar pendidikan negara.

"Kita tidak ada niat untuk menolak atau menafikan kepentingan Bahasa Inggeris, cuma apa yang kami ingin nyatakan di sini ialah lebih 30 peratus pelajar dan guru sahaja yang memahami dan bertutur dalam Bahasa Inggeris dan program DLP akan menyukarkan mereka.

"Kita memperolehi keputusan itu menerusi kajian yang telah dijalankan, kerajaan perlu terlebih dahulu mengkaji penemuan ini dan menilai tahap pemahaman melibatkan 3.5 juta pelajar.

"Sebarang usaha mengajar dalam bahasa yang tidak difahami guru dan murid terbanyak adalah satu langkah tidak bijak," jelas beliau.

DLP mula dilaksanakan sejak semalam ke atas pelajar Tahun 1 dan 4 di sekolah kebangsaan serta tingkatan 1 untuk sekolah menengah kebangsaan, melibatkan 300 sekolah rintis.

Selain itu beberapa NGO dalam sidang media itu turut mempersoalkan kewajaran program DLP dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan sahaja sedangkan sekolah vernakular Cina dan Tamil dikecualikan yang dilihat sebagai diskriminasi kesaksamaan pendidikan.

GMP juga menegaskan permit perhimpunan akan dimohon mengikut lunas undang-undang yang diperuntukkan oleh polis supaya hasrat gabungan yang sebahagiannya terdiri daripada cendekiawan akademik itu tidak membawa persepsi negatif dalam kalangan awam.- MalaysiaGazette

No comments:

Post a Comment