Friday 15 January 2016

GMP UMUM PERHIMPUNAN BANTAHAN 26 MAC!




#BantahDLP #Keranda152

Setelah rimas, kecewa dan terkilan dengan sikap kerajaan yang tidak melayan segala usaha berbentuk rundingan bagi memansuhkan Program Dwi-Bahasa (DLP), Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) memilih jalan terakhir dengan mengadakan perhimpunan bantahan secara aman di seluruh negara pada 26 Mac ini.

Menurut GMP, perhimpunan itu bertujuan menggesa kerajaan, khususnya Kementerian Pendidikan, membatalkan DLP yang bermula semalam.

Motifnya hanyalah satu, iaitu tidak sanggup melihat kira-kira 3.5 juta pelajar tahun 1 dan 4 di sekolah kebangsaan dan pelajar tingkatan 1 di sekolah menengah terjejas dengan program tersebut, katanya.

GMP kecewa kerana segala rayuan terhadap Kementerian Pendidikan, Timbalan Perdana Menteri, Ketua Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini agar program DLP ditangguhkan menemui jalan buntu.

Pengerusinya, Prof. Emeritus Shaharir Mohamad Zain berkata, pihaknya menjangka 100,000 orang akan menyertai perhimpunan yang bakal diadakan itu.

"Lokasi belum ditentukan lagi. NGO yang ada dalam gabungan kami akan membantu kita mendekati masyarakat umum dan memberikan pencerahan lebih lanjut tentang niat murni kami menggesa pemansuhan DLP supaya mereka faham dan sokong niat murni kami.

"Sementara menunggu hari bantahan itu, kita masih menaruh harapan bahawa kerajaan akan memanggil untuk berunding dengan mengambil kira segala pandangan jitu kami mengenai masa depan dasar pendidikan negara serta kesan DLP.

"Sekiranya tidak ada sebarang reaksi positif daripada kerajaan sehingga akhir Februari ini, maka bantahan yang diumumkan itu akan diteruskan," katanya dalam sidang media khas di Bangunan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Taman Cemerlang di sini.

GMP yang dianggotai 34 pertubuhan bukan kerajaan membantah pelaksanaan DLP sejak ia program itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun lalu.

Sebagai menyokong insiatif terbaharu mereka, kata Shaharir, Majlis Perundingan Melayu sedang memperhalusi dan menyediakan memorandum mengenai DLP untuk diserahkan kepada Majlis Raja-Raja (MRR) dan Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah selain menyerahkannya kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang mengambil berat tentang dasar pendidikan negara.

"Kita tidak ada niat untuk menolak atau menafikan kepentingan Bahasa Inggeris, cuma apa yang kami ingin nyatakan di sini ialah lebih 30 peratus pelajar dan guru sahaja yang memahami dan bertutur dalam Bahasa Inggeris dan program DLP akan menyukarkan mereka.

"Kita memperolehi keputusan itu menerusi kajian yang telah dijalankan, kerajaan perlu terlebih dahulu mengkaji penemuan ini dan menilai tahap pemahaman melibatkan 3.5 juta pelajar.

"Sebarang usaha mengajar dalam bahasa yang tidak difahami guru dan murid terbanyak adalah satu langkah tidak bijak," jelas beliau.

DLP mula dilaksanakan sejak semalam ke atas pelajar Tahun 1 dan 4 di sekolah kebangsaan serta tingkatan 1 untuk sekolah menengah kebangsaan, melibatkan 300 sekolah rintis.

Selain itu beberapa NGO dalam sidang media itu turut mempersoalkan kewajaran program DLP dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan sahaja sedangkan sekolah vernakular Cina dan Tamil dikecualikan yang dilihat sebagai diskriminasi kesaksamaan pendidikan.

GMP juga menegaskan permit perhimpunan akan dimohon mengikut lunas undang-undang yang diperuntukkan oleh polis supaya hasrat gabungan yang sebahagiannya terdiri daripada cendekiawan akademik itu tidak membawa persepsi negatif dalam kalangan awam.- MalaysiaGazette

Demonstrasi bantah DLP 26 Mac!




#BantahDLP #Keranda152

KUALA LUMPUR: Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) bercadang mahu mengadakan demonstrasi bagi membantah pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP).

Difahamkan, demonstrasi bantahan berkenaan akan diadakan pada 26 Mac akan datang.

Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), Profesor Emeritus Dr Shahrir Mohamad Zain berkata, demonstrasi itu dilakukan bagi menzahirkan kekecewaan setelah pihak-pihak yang berkaitan langsung tidak memberikan sebarang respon terhadap isu DLP.

“Kami terkilan dan dukacita apabila pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Ketua Pemuda, Puteri UMNO dan Presiden UMNO sendiri tidak memberikan sebarang respon terhadap isu DLP,” Katanya dalam sidang media di pejabat Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Pusat pada Selasa.

Dr Shahrir berkata, rundingan-rundingan dengan pihak berkaitan akan terus dilakukan selain memberikan penjelasan mengenai diskriminasi DLP terhadap Sekolah Kebangsaan (SK).

“DLP ini dilaksanakan hanya di SK rendah dan menengah. Ia tidak dilakukan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

“Manakala, bagi Pengerusi Majlis Bertindak Isu-Isu Pendidikan Kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Borhan pihaknya kini dalam usaha untuk perhalusi memorandum untuk diserahkan kepada Yang Dipertuan Agong.

“Kami sedang proses dan perhalusi memorandum untuk diserahkan kepada Agong. Selain akan mengirimkan warkah kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuiddin Shah,” ujarnya.
Kata Dr Shahrir lagi, demonstrasi bagi membantah DLP akan diadakan serentak di seluruh negara dan pihakny turut akan memohon permit kepada pihak polis bagi tujuan berkenaan.

“Kita harap, kehadiran dan sambutan akan sama seperti demonstrasi bagi membantah PPSMI iaitu kira-kira 100 ribu peserta,” katanya lagi.


GMP bantah sebarang usaha kembalikan PPSMI!



GMP bantah sebarang usaha kembalikan PPSMI!

#BantahDLP #Keranda152

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) membantah keras sebarang usaha mengembalikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ‘mengikut pintu belakang’ yang bertentangan dengan dasar bahasa di dalam sistem pendidikan negara.

Pengerusinya, Prof Emer. Shaharir Mohamad Zain, berkata pemerintah dan ahli politik terutama yang menggubal dasar di Parlimen sepatutnya memahami falsafah Penyata Razak (1956) sebagai Dasar Pendidikan Negara (DPN).

PPSMI“Kami mengusulkan supaya semua wakil rakyat dan senator parti memerintah diberi taklimat atau mendidik diri sendiri tentang DPN supaya mereka beroleh kefahaman, kesedaran dan keinsafan untuk mempertahankannya.

“Naib Canselor di peringkat pengajian tinggi juga perlu meminta kerajaan melaksanakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dan tidak menentang atau melucutkan DPN yang sah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pejabat Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di sini, hari ini.

Shaharir berkata, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) juga tidak sepatutnya ‘memporak-perandakan’ dasar yang dilaksanakan sekarang ke arah melemahkannya.

Katanya, GMP mengakui kepentingan Bahasa Inggeris namun ia tidak perlu disamakan dalam konteks pembelajaran sains dan matematik atas alasan keperluan bahasa itu dalam sektor ekonomi, perdagangan serta hubungan diplomatik.

“Lebih relevan adalah mencari jalan supaya pengajaran sains dan matematik dapat dilakukan dengan sempurna mengikut kurikulum yang mengambil kira sejarah dan kebudayaan kita.

“Sebarang usaha mengajar dalam bahasa yang tidak difahami guru dan murid terbanyak adalah satu langkah tidak bijak,” ujarnya.

Antara cadangan diketengahkan PEMANDU adalah melaksanakan Program Dwi-Bahasa (DLP) bagi membolehkan beberapa mata pelajaran diajar dalam bahasa Inggeris di sekolah tertentu.

Menurut laporan tersebut matapelajaran Sains, Matematik, dan Reka Bentuk dan Teknologi/ Teknologi Maklumat dan Komunikasi adalah matapelajaran yang wajib untuk diajar menggunakan Bahasa Inggeris.

Program DLP tersebut bakal dilaksanakan ke atas pelajar Tahun 1 dan 4 untuk Sekolah Kebangsaan serta Tingkatan 1 untuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) melibatkan 300 sekolah rintis bermula 2016.


Mengapa diam, menyepi pada 'PPSMI 2.0'?




#BantahDLP #Keranda152

Tiga tahun menyepi, Gerakan Mansuh (GMP) kembali dengan sidang media mengecam usaha mengembalikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) melalui program seumpamanya.

Gabungan yang menggerakkan protes awam membantah PPSMI pada 2012 itu mendakwa PPSMI cuba dikembalikan melalui pintu belakang melalui Program Dwi-Bahasa (DLP).

Pengerusinya Prof Dr Shaharir Mohamad Zain mendakwa program sama cuba dikembalikan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU).

"Dalam hal ini dan kali ini, nampaknya dasar pendidikan yang hendak diubah oleh sektor 'kuasawan' yang lain, PEMANDU.

“Tetapi pihak yang amat relevan, menteri pendidikan dan parlimen menyepi dan tidak menghayati dasar yang sedia ada.

"Padahal, menteri pendidikan dan wakil rakyat daripada parti pemerintah yang seharusnya memperjuangkan dan disokong oleh NGO. Tetapi apa yang berlaku sekarang sebaliknya,” katanya.

Bantahan besar 2012

GMP justeru mengusulkan semua anggota Dewan Rakyat dan Dewan Negara diberi taklimat berkaitan Dasar Pendidikan Negara yang menyatakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan.

Bercakap dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini, Shaharir turut menyentuh keadaan di pusat pengajian tinggi yang didakwa mengetepikan bahasa Melayu.

Bagi Setiausaha Agung GMP, Hasni Abas pula berkata, perkara utama yang perlu dikaji oleh PEMANDU, mengapa pelajar mempelajari bahasa Inggeris daripada sekolah rendah hingga sekolah menengah masih tidak menguasai bahasa itu.

"Kenapa PEMANDU tak kaji benda itu? 11 tahun belajar tetapi pelajar tak boleh kuasai bahasa Inggeris. Sepatutnya itu yang dikaji dan bukan bawa balik PPSMI melalui pintu belakang," katanya.

PPSMI dimansuhkan sepenuhnya pada 2012.

Dasar yang diperkenalkan sejak 2003 itu mengundang bantahan meluas sehingga mendorong perhimpunan besar (gambar) di Kuala Lumpur diketuai bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka allahyarham Datuk Hassan Ahmad.

Sidang media itu turut dihadiri oleh wakil NGO lain antaranya, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) dan Seniman Paksi Rakyat (PAKSI).