Friday 15 January 2016

Demonstrasi bantah DLP 26 Mac!




#BantahDLP #Keranda152

KUALA LUMPUR: Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) bercadang mahu mengadakan demonstrasi bagi membantah pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP).

Difahamkan, demonstrasi bantahan berkenaan akan diadakan pada 26 Mac akan datang.

Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), Profesor Emeritus Dr Shahrir Mohamad Zain berkata, demonstrasi itu dilakukan bagi menzahirkan kekecewaan setelah pihak-pihak yang berkaitan langsung tidak memberikan sebarang respon terhadap isu DLP.

“Kami terkilan dan dukacita apabila pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Ketua Pemuda, Puteri UMNO dan Presiden UMNO sendiri tidak memberikan sebarang respon terhadap isu DLP,” Katanya dalam sidang media di pejabat Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Pusat pada Selasa.

Dr Shahrir berkata, rundingan-rundingan dengan pihak berkaitan akan terus dilakukan selain memberikan penjelasan mengenai diskriminasi DLP terhadap Sekolah Kebangsaan (SK).

“DLP ini dilaksanakan hanya di SK rendah dan menengah. Ia tidak dilakukan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

“Manakala, bagi Pengerusi Majlis Bertindak Isu-Isu Pendidikan Kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Borhan pihaknya kini dalam usaha untuk perhalusi memorandum untuk diserahkan kepada Yang Dipertuan Agong.

“Kami sedang proses dan perhalusi memorandum untuk diserahkan kepada Agong. Selain akan mengirimkan warkah kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuiddin Shah,” ujarnya.
Kata Dr Shahrir lagi, demonstrasi bagi membantah DLP akan diadakan serentak di seluruh negara dan pihakny turut akan memohon permit kepada pihak polis bagi tujuan berkenaan.

“Kita harap, kehadiran dan sambutan akan sama seperti demonstrasi bagi membantah PPSMI iaitu kira-kira 100 ribu peserta,” katanya lagi.


No comments:

Post a Comment